Tuesday 10 January 2012

Menarik Untuk Direnungi Bersama !!

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi semalam yang melepas dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat memberi impak besar ke atas kepercayaan ramai kepada badan kehakiman. Ia diharap dapat menukar persepsi segelintir ahli masyarakat kepada mahkamah.

Secara peribadi saya sebenarnya amat yakin dengan kewibawaan badan kehakiman dan kebolehan hakim yang mendengar dan membuat keputusan di dalam perbicaraan Anwar. Sekiranya dulu imej mahkamah sedikit tercalar, perkembangan mutakhir dengan kredibiliti beberapa orang Ketua Hakim Negara (termasuk Ketua Hakim yang berkhidmat sekarang) imej itu sudah kembali pulih.

Malah, ia pulih sebelum keputusan kes Anwar ini lagi. Mungkin pembaca boleh melihat atau memberi perhatian kepada keputusan mahkamah sebelum ini yang membabitkan kes rasuah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo. 

Keputusan di dalam kes Anwar ini juga membuktikan bahawa badan kehakiman negara ini mempunyai kredibiliti yang tidak boleh dipersoalkan lagi. Kredibiliti di sini saya maksudkan dengan kredibiliti dari segi keupayaan menganalisis fakta, undang-undang substantif, termasuk undang-undang keterangan dan juga undang-undang prosedur. 

Saya juga percaya kepada kebolehan hakim dalam menentukan kebolehterimaan atau ketidakbolehterimaan sesuatu bentuk keterangan yang dibawa oleh pihak kehadapannya. Dalam aspek lain, kredibiliti yang saya maksudkan ialah, sifat ketahanan mahkamah daripada mengikut telunjuk pihak luar atau campur tangan pihak luar, terutama pihak eksekutif atau parti pemerintah.

Saya tidak menyatakan mengenai wujudnya campur tangan parti pemerintah di dalam kes ini. Saya tidak boleh menyatakan begitu kerana saya tidak mempunyai bukti yang boleh mendorong saya untuk mempercayainya. Saya menyebut mengenai perkara ini kerana saya terbaca banyak tulisan yang seolah-olah menyatakan mengenai wujudnya campur tangan pihak pemerintah di dalam media maya. 

Saya berkata begini bukan kerana keputusan itu berpihak kepada Anwar sebagai tertuduh. Saya berkata begitu kerana pada pengamatan saya, masih ramai (terutama penyokong Anwar) yang berasa sangsi dengan keputusan mahkamah dalam kes berprofil tinggi seperti kes liwat Anwar ini. 

Daripada pengamatan saya, saya berasakan penyokong Anwar sebenarnya berasa sangsi dengan kebebasan badan kehakiman negara kita. Pandangan ini saya sandarkan kepada slogan dibawa mereka, seperti ‘Bebaskan Anwar’. Slogan ini seolah-olah memberi gambaran bahawa Anwar akan didapati bersalah, dihukum dan dipenjara. 

Sekiranya saya sebagai orang awam membaca slogan ini, saya mungkin akan melihat slogan sebegitu sebagai cuba memberikan gambaran bahawa, sekiranya Anwar didapati bersalah dan dipenjarakan, mahkamah berlaku tidak adil dan tidak neutral. Saya juga melihat itu seolah-olah mahu memberi tekanan kepada mahkamah dan ia seolah-olah memberi gambaran bahawa mahkamah dipengaruhi oleh pihak lain.

Saya juga melihat kepada penganjuran perhimpunan di pekarangan mahkamah semalam. Sudah tentu perhimpunan adalah perkara biasa bagi menunjukkan sokongan, tetapi penganjur nampaknya begitu ghairah, sehingga menafikan syarat yang dipersetujui bersama pihak polis. 

Sekiranya mereka yakin dengan kebebasan badan kehakiman, maka, tidak perlulah mereka menganjur perhimpunan sedemikian rupa dan bertindak menggunakan mekanisme politik yang sebegitu.

Memang benar sebagai seorang ahli politik Anwar mempunyai pengikutnya sendiri dan sudah tentu mereka mahu menunjukkan sokongan serta mahu bersama dengan beliau di dalam keadaan itu. 

Ini perkara lumrah – lebih-lebih lagi apabila hak untuk berhimpun dibenarkan, bahkan dijamin oleh undang-undang. Tetapi penganjuran perhimpunan sedemikian rupa dengan slogan tertentu boleh melahirkan indikasi bahawa mereka tidak yakin dengan mahkamah. 

Keputusan mahkamah yang memihak kepada Anwar melangsaikan semua slogan itu. Saya terdengar ramai yang memberi komen mengenai keadilan mahkamah dan kebijaksanaan hakim. Saya juga membaca banyak tulisan di maya mengenai itu. 

Ini membuat saya senyum sendiri. Saya terfikir, itulah resam dunia – bergembira dan memuji-muji sekiranya kehendak tercapai, tetapi akan merungut dan membentak sekiranya kehendak dinafikan. Namun, tidak kurang juga yang memandang sinis keputusan ini.

Dalam keadaan ini, saya mahu tegaskan bahawa, perkara penting untuk kita percaya dan usahakan ialah kebebasan badan kehakiman. Kepercayaan kepada kebebasan badan kehakiman dan kebijaksanaan hakim hendaklah sentiasa didokong, bukan saja dalam keadaan kita menerima kemenangan, tetapi juga ketika menerima kekalahan. Kepercayaan kita kepada kebebasan badan kehakiman bukan untuk diri kita, tetapi matlamat utama ialah keadilan. 

Dalam sesuatu perbicaraan di mahkamah, seperti juga dalam pertandingan, pasti ada yang kalah dan pasti juga ada yang menang. Kesediaan kita menerima kekalahan juga menyumbang kepada kelangsungan kebebasan badan kehakiman. Sekiranya gagal menerima kekalahan, maka itu akan menyumbang kepada pandangan serong kepada mahkamah.

Perbuatan seperti ini merbahaya, bukan saja kepada mahkamah, tetapi juga kepada kestabilan negara. Mahkamah, seperti yang diketahui pembaca, adalah badan yang menjadi mekanisme semak dan imbang yang utama dan kebebasan mahkamah menjadi kayu pengukur kepada keadilan yang seterusnya akan memberi kesan ke atas kestabilan negara.

Penulis ialah Profesor Madya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

No comments:

Post a Comment