Thursday 23 February 2012

Baiah Pas !! Antara agama dan parti !!


KUALA LUMPUR 22 Feb. - Pas sepatutnya mewajibkan calonnya berbai'ah menolak mana-mana pemimpin yang terpalit dengan video seks ; tuduhan liwat; menggadai kalimah Allah ; membawa idealogi pluralisme serta menyokong keselamatan Israel.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Zahid Md. Arip berkata, ini kerana terdapat pemimpin sedemikian dalam pakatan pembangkang dan tindak-tanduk tersebut jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

"Saya ingin mengingatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang jangan sampai menang sorak Islam tergadai.Sepatutnya mereka berbai'ah menentang pemimpin yang terpalit dengan masalah moral, mempersendakan Islam dan menyokong Israel.

"Jangan kita berbai'ah hanya kerana kemaruk kuasa politik dan saya melihat tindakan terdesak ini menunjukkan Abdul Hadi sendiri tidak percaya kepada kesetiaan calon Pas," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Abdul Hadi mengumumkan bahawa Pas mewajibkan setiap calonnya yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti berbai'ah dan sesiapa yang melanggar bai'ah tersebut akan celaka dunia dan akhirat.

Pada pilihan raya 2008, calon Pas juga diarahkan berbai'ah mencerai isteri masing-masing dengan talak tiga jika mereka meninggalkan perjuangan parti itu sehingga mendapat kecaman hebat daripada pelbagai pihak, kerana bai'ah tersebut menganiaya kaum wanita.

Dalam pada itu, bekas Setiausaha Angkatan Muda PKR, SD Johari Yasin berkata, tindakan Abdul Hadi bukan sahaja jumud, malah memberi gambaran buruk kepada orang bukan Islam kerana mereka melihat langkah itu sebagai tidak demokratik.

Pada masa sama, beliau juga percaya tindakan mewajibkan bai'ah itu bukti Pas sebenarnya berada dalam keadaan terdesak ekoran sokongan orang Melayu terhadap parti berkenaan berada pada tahap terendah selepas pilihan raya 2008.

"Pas bimbang bukan sahaja tentang sokongan orang Melayu tetapi takut calon mereka beralih arah kerana Pas sedar, mereka sering tunduk kepada Parti Keadilan Rakyat, DAP termasuk dalam isu akidah sebab itu digunakan kaedah autokratik seperti ini," katanya. - Utusan Malaysia.